Gigitan Ular
Jenis-jenis ular yang ada di Malaysia
Terdapat lebih dari 140 spesis ular di Malaysia, tetapi hanya 17 spesis sahaja yang beracun.
Beberapa jenis ular beracun dan berbahaya ialah seperti ular tedung
(cobra dan King cobra), ular kapak (Russell's Viper, Malaysian pit viper
dan Green tree pit viper) dan ular 'kraits'.
Ular Kapak
|
Ular Tedung
|
Ular Krait
|
Ular tedung biasanya dijumpai di kawasan ladang, paya, tanah lapang dan
juga di kawasan perumahan di mana mudah bagi ular-ular tersebut mencari
mangsanya seperti tikus. Manakala "king Cobra" pula biasanya di jumpai
di hutan tebal.
Ular kapak (pit viper) pula mudah dijumpai di kebun getah, ladang,
kampung dan hutan. Tempat yang biasa bagi 'Green tree pit viper' pula
ialah di atas pokok.
Ular 'Kraits' biasanya didapati di padang, hutan atau di pinggir kawasan perumahan.
Ular laut selalunya berada di pesisiran pantai dan kawasan muara sungai.
Oleh yang demikian, kes-kes patukan ular sering terjadi kepada mereka
yang tinggal atau bekerja dekat dengan kawasan-kawasan tersebut dan
semasa aktiviti-aktiviti perkhemahan, berkelah dan riadah di
kawasan-kawasan tersebut.
Gejala & tanda-tanda dipatuk ular
Kecedaraan atau kemudaratan akibat patukan ular bergantung kepada jenis
dan saiz ular, jumlah racun, bilangan patukan, tempat patukan (kesan
patukan menjadi teruk jika dipatuk di kepala, leher dan badan) dan saiz
mangsa.
Racun ular bertindak melalui 3 cara yang berlainan :
-
Toksin darah (Haemotoxins)
-
Toksin saraf (Neurotoxins)
-
Toksin jantung (Cardiotoxins)
Sesetengah gejala patukan akan dirasai dalam masa yang singkat selepas
dipatuk berbanding dengan sesetengah gejala patukan yang lain. Gejala
awal:
-
Sakit setempat, bengkak dan perubahan warna kulit pada tempat patukan
(patukan ular laut biasanya tidak mendatangkan reaksi mahupun rasa
sakit).
-
Gejala am yang mungkin timbul pada peringkat awal pada 10 hingga 15
minit selepas dipatuk ialah rasa cemas, lemah, muntah, sakit kepala,
pening, berpeluh, sesak nafas, perasaan keliru, kekejangan dan kemudian
mangsa mungkin akan lumpuh dan seterusnya mati.
Gejala yang berlaku agak lambat:
-
Gejala setempat (di tempat patukan): bengkak, bisul, pendarahan dalam
kulit dan otot, dan gejala kurang aliran darah ke anggota serta kulit.
-
Gejala am seperti: pening, muntah, sesak nafas, demam, kejutan
(shock), gusi berdarah, darah dalam najis, air kencing atau muntah dan
lumpuh.
-
Gangguan deria sentuhan, rasa dan bau; rasa mengantuk, rasa lumpuh
pada otot muka dan mata; susah untuk menelan dan pendarahan dalam otak.
Kesan atau Komplikasi patukan ular
Walaupun kebanyakan orang yang dipatuk ular beracun akan sembuh, namun
patukan ular boleh menjadi serius dan boleh membawa maut jika tidak
dirawat dengan cepat. Kesan atau komplikasi yang boleh terjadi ialah :
-
Parut dan kesan kosmetik.
-
Luka, jangkitan kulit dan jangkitan tulang di tempat yang dipatuk.
-
Penyakit Tetanus (kancing gigi).
-
Kerosakan buah pinggang.
-
Kerosakan otak akibat perdarahan dalam otak
-
Luka atau parut kekal dalam mata, jika ular menyembur racun ke mata.
Rawatan patukan ular
JANGAN PANIK!
Cuba ingat rupa ular tersebut. Ini mungkin akan membantu doktor dalam
memilih anti venom yang sesuai. Jangan potong atau hisap tempat yang
dipatuk.
-
Elakkan dari bergerak jika tiada keperluan bagi mengurangkan racun merebak ke bahagian badan yang lain.
-
Basuh tempat yang dipatuk dengan segera dan berhati-hati.
-
Basuh mata secepat mungkin jika racun ular disembur ke mata.
-
Balut tempat yang dipatuk dengan baik tetapi janganlah terlalu ketat
supaya aliran darah tidak terganggu. Jika tempat yang dipatuk ialah
tangan atau kaki, buat balutan tambahan bagi keseluruhan tangan atau
kaki, mulai dari jari tangan atau jari kaki.
-
Elakkan anggota yang dipatuk dari bergerak dengan menggunakan anduh (splint atau sling).
-
Elakkan mangsa dari bergerak sehingga pertolongan tiba. Bawa
bentuk-bentuk pertolongan kepada mangsa bagi mengelakkan mangsa bergerak
atau berjalan.
-
Hantar mangsa ke hospital yang berdekatan.
Rawatan di hospital :
-
Mangsa akan diletak di bawah perhatian yang rapi
-
Rawatan termasuk rawatan luka, jagaan anggota dan rawatan sokongan
-
Rawatan sokongan termasuk melegakan kesakitan, rawatan jangkitan ,
pemindahan faktor pembekuan darah, bantuan pernafasan dan sebagainya
mengikut keperluan.
-
Doktor juga akan memberi ubat khas antivenom yang spesifik bergantung kepada tahap keseriusan patukan
-
Jika perlu, suntikan imunisasi atau imunisasi tambahan untuk penyakit tetanus mungkin akan diberi.
Bagaimana mengelak dari dipatuk ular
-
Pakai kasut yang menutup kaki atau seluar panjang semasa berjalan di kawasan semak
-
Hentak kaki atau lakukan gegaran dengan kaki semasa berjalan di tempat gelap atau semak
-
Jangan masukkan tangan ke dalam lubang, rekahan batu atau tanah
-
Jauhi dari ular yang mati kerana ramai orang telah dipatuk 2 atau 3 kali oleh ular yang disangka telah mati.
-
Elakkan pergi ke kawasan ular semasa suasana gelap.
dari portal kementerian keihatan